Monday, December 27, 2010

Patah Hati Membunuh Ghairah Wanita

BANYAK SEBAB YANG BOLEH MEMBUAT ANDA SEDIH, MURUNG DAN PATAH HATI. WANITA YANG BEKERJA BIASANYA RISAU TERHADAP TANGGUNGJAWAB DI TEMPAT KERJA, DISAMPING TUGAS MENJADI IBU DAN ISTERI. KADANG KALA SUAMI TIDAK MAHU MEMAHAMI BERATNYA TANGGUNGJAWAB ANDA, DIBIARKAN ANDA BERJALAN KESEORANGAN TANPA SOKONGAN DAN MOTIVASI YANG MEMBINA.

Seiring berputarnya waktu, anda menyedari bahawa suami juga manusia biasa yang tidak terlepas dari kesilapan. Jika anda patah hati, anda sendiri  yang mesti menghiburkan diri anda. Jangan harap suami boleh memujuk dan memberi harapan baru, tidak mungkin! Sesungguhnya anda sendiri yang mesti bangkit kerana jika anda mengharapkannya untuk meniupkan semangat baru, anda akan kecewa kerana suami juga insan yang memiliki kelemahan seperti mana anda sendiri.

Hingga nanti ketika anda terpaksa melalui masa menopaus untuk ke sekian kalinya, anda pasti akan diserang gejala kemurungan lagi. Jelasnya, banyak punca yang boleh membuat anda hilang iman. Semakin tua ada-ada saja masalah dalam perhubungan dengan suami. Anda berdua cepat kecil hati dan suka merajuk. Ditambah lagi dengan ujian menghidap penyakit yang macam-macam. Semakin tua semakin berat cubaan kehidupan  yang juga merupakan rahmat dari-Nya kerana dengan ujian itu Allah Taala menghapuskan dosa-dosa kita hingga nanti menemui-Nya dalam keadaan bersih dan suci.

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud “Tiada seorang muslim menderita keletihan, penyakit, kesusahan hati, hingga duri tajam yang mengganggunya melainkan semua itu menjadi penebus dosa-dosanya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kalau dahulu anak-anak masih kecil, anda susah hati menjaga mereka, dah besar pun kena lebih berhati-hati memantau pergaulan mereka. Hingga mereka berumah tangga nanti anda selalu diserang rasa “kecil hati” dengan perangai menantu bersambang pula dengan sepak terajang cucu-cucu yang memeningkan kepala. Sampai bila anda harus mengulangi kesedihan sepanjang hayat?

Jadi mengapa harus bersedih jika memang begitulah hakikat kehidupan ini. Seperti mana firman Allah Taala menerusi surah Al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud “ Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada mu cubaan sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya:”Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

UJIAN KESEDIHAN
Kalau anda bersedih kerana suami, Asiyah isteri Firaun lagi berat menanggung derita sampai mati di tiang seksaan kerana iman. Mengapa sedih berpisah dengan anak-anak yang telah berumah tangga? Bukankah Nabi Allah Ya’kub AS berpisah dengan anaknya Yusuf AS selama 60 tahun baru bersua. Jika penyakit silih berganti datang dan pergi bahkan tak jua sembuh ke mana saja ubat di cari, janganlah bersedih kerana nabi Allah Ayyub AS tetap bersabar dengan penyakit yang membuatnya diasingkan dan diusir oleh kaumnya. Jika Allah SWT menimpakan sakit pada tubuh badan kita, bukankah Dia juga yang menyembuhkan? Jika Allah SWT memberi cubaan, bukankah Dia pula yang memberi jalan keluar? Sebagai hambanya kita hanya disuruh untuk setia dan taat walau apa pun yang terjadi dalam hidup kita. Maksud firman-Nya : Sesungguhnya bersama kesusahan ada jalan keluar. (Surah Al-Insyirah ayat 5) Tetapi bilakah datangnya pertolongan? Ia adalah rahsia Allah, itu bukan kuasa anda. Kerana Allah Taala mahu menguji   adakah iman itu benar atau main-main saja.

Mengapa hanya taat jika rezeki melimpah, tubuh badan sihat, kegembiraan menyelimuti hari-hari anda, tetapi sebaliknya jika semua itu dicabut satu persatu dalam hidup anda maka hilang pula ketaatan, berubah menjadi buruk sangka kepada Allah Taala. Putus asa mengharap rahmat dari-Nya. Kesedihan jika dibiarkan berterusan boleh membunuh jiwa anda. Cuba anda bayangkan, seorang wanita tua yang kesepian duduk di kampung bersama suami yang pikuh lagi cerewet. Anak-anak yang ramai itu tak seorang pun ingat dengan ibu bapanya. Masing-masing sibuk dengan kerjaya dan rumah tangga sendiri. Wanita tua itu kerana imannya kepada Allah SWT sabar menerima ujian kesedihan dalam kesendirian nya melawan sepi dan rindu. Suaminya pula lemah dan mengharap belas ikhsan darinya. Jika dia tidak bersabar, dia akan jatuh sakit kerana kesal dan memendam benci tapi rindu kepada anak-anaknya. Jika sakit siapa pula yang akan menjaganya? Hanya dengan bekal iman dia mampu melalui hari-harinya dengan reda kepada Allah taala. Semakin sabar, dosa-dosanya yang telah lalu di ampun Allah Taala, hatinya pula bertambah lapang. Saat wajahnya yang menghadap Allah SWT anda melihat wajahnya seolah-olah tersenyum mengingatkan “Terima kasih kepada kamu semua yang telah menjadi beban hidup ku, kerana kamu aku mendapat pahala sabar daripada Tuhanku yang Maha Mengasihani”.

TAKDIR ALLAH
Tetapi lain pula jika perempuan tua itu merajuk, membenci dang menggugat takdir Allah SWT ke atasnya. Semakin dia membenci keadaan hidupnya semakin jauh dari Allah SWT, lidahnya sering mengutuk anak-anak dan suaminya. Air matanya mengalir sepanjang malam, tidak lena tidur, tidak bernafsu makan, tubuh badan lemah akhirnya menjadi alasan untuk meninggalkan sembahyang. Hatinya bertambah keras, jiwanya mati sebelum nyawanya dicabut Allah Taala. Sesungguhnya azab Allah SWT itu ada dua macam, yang nampak di mata kita seperti musibah dan bala. Dan yang tidak nampak iaitu ketika hati kita tidak merasai kenikmatan bermunajat kepada Allah SWT.
Bagi yang patah, risau dan sedih, adakah hatinya mampu bermunajat kepada Allah SWT? Itulah azab yang paling dahsyat dalam kehidupan setiap hamba Allah.

No comments:

Post a Comment

countdown...

countdown...

www.google.com